Awal pagi salji mula berguguran




Seawal pagi semalam, salji sudah mula berguguran. Mungkin ianya sudah lama turun memandangkan tanah yang sudah kelihatan basah. Rintik-rintik salji turun dengan perlahan. Adakalanya berapung-apungan dan menari sebelum jatuh dan cair di dada bumi. Namun, setiap kali angin datang bersama, ianya jatuh bagaikan kapas putih.


Dari awal pagi, salji masih terus lebat hingga ke malam. Berterusan. Barangkali suhu yang masih tidak di paras beku menjadikan salji ini terus cair. Tidak berkumpul di bumi menjadi hamparan putih. Ais dan air berkumpul bersama di atas jalan. Basah dan becak.



Ketika teman-teman di Malaysia mengadu kepanasan, kami di sini berperang dengan kedinginan. Musim sejuk mulailah tiba. Perbezaan lebih kurang 5-6 darjah celsius adalah begitu besar. Memang akan menjadi lumrah jika kita saling mahu berganti tempat untuk seketika!


Antara ayat lazim yang selalu diucapkan dari teman-teman adalah alangkah seronoknya menikmati salji yang gugur. Jatuh ke kepala, muka, tangan dan tubuh badan. Lalu dibayangkan pula dengan pelbagai keindahan seperti yang selalu dipaparkan di dalam filem romantik.

Adakalanya, ianya begitu indah. Satu anugerah dan tanda kekuasaan Sang Pencipta untuk manusia mengingatkan diri betapa kerdilnya kita. Namun begitu, usah dilupa yang ia datang bersama dingin yang mengigit. Seperti semalam, ais dan angin bersatu tanpa henti dari pagi hingga ke malam. Dan datang bersama kedinginan yang mencengkam.


Tubuh dilapisi dengan beberapa helai baju dan tangan yang sudah berbalut dengan sarung tangan masih belum mampu menangkis rasa dingin. Apatah lagi muka yang terdedah diterpa dengan titis-titis ais. Telinga menjadi sakit kerana sejuk dan kebas. Bagai hilang deria rasa. Mungkin juga kerana tubuh badan yang sudah biasa dengan cuaca panas, maka keadaan sejuk sebegini adalah terlalu asing untuk disesuaikan. Mengambil sedikit masa untuk menjadi biasa.


Kedinginan semalam masih berterusan ke hari ini. Titis-titis ais berganti dengan rintik-rintik hujan pula. Mungkin semua ini bagai satu utusan dari langit. Mengingatkan manusia akhir zaman agar mendekatkan diri kepada-Nya.by:(09:11:0078654)